Tindakan yang dilakukan oleh Dato' Seri IR Mohd Nizar Jamaluddin baru-baru ini, dimana beliau mengarahkan Pengarah Jabatan Agama Perak (JAIP), Datuk Jamry Suri, DITUKARKAN serta merta, adalah satu tindakan yang tidak melampaui atau mengetepikan mana-mana peruntukan undang-undang Persekutuan mahupun Negeri.
Adalah dimaklumkan bahawa Bidang Kuasa berkenaan agama dan adat istiadat negeri adalah dibawah kuasa Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri pula, ditakbir oleh Menteri Besar. Sultan pula bertindak sebagai PENASIHAT dalam perkara yang berkaitan adat istiadat dan agama. Oleh sebab itu, tindakan Dato' Seri menukarkan Pengarah JAIP itu tidak salah dimata undang-undang. Mungkin salah dikalangan orang yang kurang celik dan orang yang kurang pengetahuan undang-undang.
Apa gunanya beliau di lantik menjadi Menteri Besar, peneraju negeri, tetapi tidak boleh membuat keputusan sendiri. Saya tidak nampak ketidak-rasionalannya. Lagipun, Pengarah JAIP itu hanya ditukarkan ke jabatan lamanya, bukan dilucutkan jawatannya.
Tetapi, saya kagum dengan Dato' Seri IR Mohd Nizar kerana walaupun tindakkannya itu tidak salah, tetapi atas sifat rendah diri dan hormat kepada Baginda Sultan, beliau telah memohon maaf secara terbuka. Memohon maaf bukan disebabkan kesilapan atau takutkan Sultan, memohon maaf adalah disebabkan rasa hormat yang mendalam.
Merujuk pula kepada Pengerusi DAP yang dikecam oleh sesetengah pihak apabila beliau mengatakan bahawa Baginda Tuanku Sultan tidak mempunyai autoriti untuk melantik balik para pegawai yang dipecat, saya katakan tindakan dan pernyataan yang dikeluarkan oleh Karpal Singh itu adalah satu tindakan yang betul dan tepat. Seperti yang saya katakan tadi, Sultan adalah PENASIHAT kepada hal ehwal agama dan adat istadat negeri. Baginda perlu menasihati Menteri Besar, bukan membuat keputusan. Implikasinya sama sahaja apabila kita merujuk kepada Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, dimana YDP Agong hanya boleh bertindak mengikut arahan Perdana Menteri. YDP Agong hanya boleh memberi nasihat, tetapi harus pula bertindak mengikut arahan PM. Konsep perlembagaan ini harus kita fahamkan.
Saya minta sesiapa yang mengecam pendapat Karpal Singh yang dibuat atas dasar kepakaran dan ilmu beliau, supaya menarik balik kecaman itu. Sebaiknya, sebelum kita kecam orang, lebih bai kita kaji dulu sedalam dalamnya kecaman kita itu. Adakah ianya berlandaskan fakta atau pun sekadar dipenuhi dendam dan khayalan semata.
Satu lagi, saya tertarik dengan perkataan "Ketuanan Melayu" yang saya temui ketika membaca artikel disebuah blog yang agak popular dikalangan pelajar MMU. Perkataan "KETUANAN" tidak tertulis pun dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Yang tertulis hanya perkataan "kedudukan istimewa orang melayu", melalui Perkara 153. Saya begitu pelik kenapa perkataan ketuanan melayu ini acapkali di gembar-gemburkan dan diwarwarkan. Tiada KEBANGGAAN melalui perkataan "Ketuanan" itu. Apa yang saya nampak, orang Melayu sekarang ini ada sindrom lagak dan riak. Di usik sedikit, Ketuanan Melayu! Di cuit sedikit, Ketuanan Melayu!
Melayu ini terlalu kebudak-budakan. Masih lagi bertongkatkan apa yang mereka laungkan sebagai ketuanan Melayu. Tun Dr Mahathir pernah menyatakan, " Orang Melayu Tidak Boleh Bertongkat Lagi". Teruskan jalan walaupun tempang. Kalau sampai bila-bila asyik bertongkat, macam mana nak maju. Negara lain maju dan membangun, kita masih lagi Ketuanan Melayu. Orang kebulan, kita? KETUANAN MELAYU!
Kita patut malu. Akhir kalam, jangan asyik nak mencari salah orang lain. Fikir dahulu sebelum berkata. Takut diri kita tertikan dek kata-kata kita yang tajam dan berbisa. Sebaiknya, kita berfikir bagaimana nak memajukan bangsa Melayu dan Malaysia. Jangan nanti kita makan pasir, dek "Menang SORAK, kampung TERGADAI"
Oleh:
Sang Kencana
p/s: Bercakap Biar Berakal, Menulis Biar PINTAR!!!!!!