Ini merupakan kesinambungan perbincangan mengenai isu Chin Peng. Saya lihat ramai pembaca-pembaca terkeliru ataupun tersilap dalam melabel DSAI sebagai pengkianat bangsa apabila menyarankan kerajaan untuk menerima semula kemasukkan Chin Peng ke Malaysia. Saranan yang diutarakan oleh DSAI nyata berasas dan berlandaskan faktor sejarah. Ramai diantara kita tidak tahu akan wujudnya Perjanjian Damai PKM-Malaysia. Ia dikenali dengan nama Perjanjian Hadyai 1989. Berikut adalah intipati perjanjian.
Pertama:
Menamatkan aktiviti ketenteraan. Selepas menandatangani perjanjian itu, Malaysia dan PKM akan menghentikan serta-merta aktiviti ketenteraan.
Kedua:
Membubarkan unit ketenteraan, memusnahkan senjata, peluru, bahan letupan dan jerangkap samar.
Ketiga:
Penempatan di Malaysia. Anggota PKM dan anggota unit tenteranya yang berasal dari Malaysia dan ingin tinggal di Malaysia, akan dibenarkan berbuat demikian selaras dengan undang-undang. Mereka yang bukan berasal dari Malaysia, jika mereka mahu, juga boleh berbuat demikian selaras dengan undang-undang Malaysia.
Keempat:
Bantuan oleh pihak berkuasa Malaysia. Selaras dengan Perkara Ketiga, kerajaan akan membantu mereka memulakan hidup baru.
Melihat kepada intipati Perjanjian Hadyai ini, dapatlah kita rumuskan bahawa hujah ataupun saranan DSAI betapa harus kerajaan membenarkan kemasukkan semula Chin Peng , sebagai mempunyai asas yang konkrit.
Sebelum ini, kerajaan telah menerima kembali kemasukkan semula beberapa tokoh pimpinan tertinggi PKM termasuk Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin, Abdullah C.D, Suraini Abdullah dan Musa Ahmad. Soalan saya apa bezanya Chin Peng dari mereka semua? Meraka semua adalah pimpinan tertinggi PKM. Seharusnya diberi layanan yang saksama. Oleh itu, kemasukkan Chin Peng wajar dibenarkan atas dasar Perjanjian Hadyai yang telah dimeterai.
Nasihat saya kepada teraju utama kerajaan (UMNO) terutamanya Menteri Dalam Negeri, jangan kalian lupa akan sejarah. Bukankah kalian yang sering bertempik supaya jangan dilupakan Kontrak Sosial yang telah dimeterai? Perjanjian Hadyai 1989 juga merupakan satu perjanjian damai yang tidak seharusnya dilupai!