Wednesday, December 19, 2007

Gelombang Banjir- Pelbagai Pihak Perlu Mainkan Peranan

Gelombang banjir yang melanda bahagian pantai timur Semenanjung amat membimbangkan. Kawasan yang merangkumi negeri Kelantan, Pahang hingga ke Johor amat perlu diberikan perhatian yang sewajar. Satu pendekatan yang rasional perlulah diambil bagi menangani bencana alam ini supaya ia tidak mengeruhkan lagi keadaan. Dalam perkara ini, pelbagai pihak perlulah mengambil peranan masing-masing. Bebanan tidak sepatutnya diletakkan diatas bahu kerajaan yang memerintah sebaliknya kita bersama-sama perlu menunjukkan keprihatinan yang jitu.
Muktahir memaparkan jumlah atau statistik mangsa yang menjadi korban banjir semakin meningkat. Adalah dilaporkan rata-rata mangsa terkorban akibat ‘kebodohan’ dan “kegairahan” diri sendiri. Pepatah “Kecil Menjadi Kawan, Besar Menjadi Lawan” haruslah dihayati dengan minda yang objektif. Mangsa terdiri daripada kanak-kanak yang rata-ratanya masih terlalu mentah untuk memahami bahaya banjir. Dalam perkara ini, tiada pihak lain yang harus dipertanggungjawabkan melainkan ibu-bapa dan keluarga mangsa sendiri. Sikap culas dalam memastikan keselamatan keluarga jelas menghukum diri. Tangisan dan ratapan berkumandang menjadi melodi pilu dan duka. Kesedaran yang serius amatlah diperlukan.
Di pihak masyarakat pula, sumbangan boleh disalurkan melalui pelbagai cara. Kumpulan–kumpulan sukarelawan haruslah diperbanyak dan diagihkan ke serata kawasan yang terlibat. Kehadiran mereka akan sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir. Bagi syarikat-syarikat swasta pula, sumbangan dari pihak anda amat diperlukan. Inilah masa yang paling sesuai untuk menabur bakti kepada Negara. Sumbangan yang ikhlas walaupun tidak tinggi nilainya amatlah berguna disaat-saat genting ini. Sikap lepas tangan dan menyerahkan bulat-bulat tugas membantu mangsa banjir kepada kerajaan tidak wajar terjadi. Sebaliknya, sektor kerajaan dan swasta haruslah bersama-sama mengembleng tenaga untuk menyelesaikan kebejatan ini.
Saya juga menyeru kepada golongan mahasiswa-mahasiswi prihatin diluar sana agar sama-sama memberikan sumbangan mereka. Ingatlah disaat kita semua bersenang lenang, mereka diluar sana meratap hiba dek kehilangan harta benda dan keluarga. Jerteru atas nilai kemanusiaan , bertindak dan lakukanlah sesuatu. Realisasikanlah pepatah “Bulat Air Kerana Pembentung, Bulat Manusia Kerana Maufakat”.
Oleh: Sang Kencana (18/12/07)

1 comment:

fendy_ahmad said...

Gelombang Banjir satu hal,

Gelombang Kuning Satu Hal...

Dua - Dua ni masalah yang wajar dan seharusnya di 'tadbir urus' dengan penuh hemah dan bijak oleh pihak yang sewajarnya itu :P